HARI-HARI (DULU & KINI)
:: Tentang Hari Ini Dan Sejarah ::

HARI INI BERMULA IKON MALAYSIA DI ASTRO RIA

IKON merupakan sebuah program anugerah muzik serantau yang melibatkan kerjasama sebahagian besar negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Singapura, Filipina dan Malaysia.

Melalui IKON, sepuluh artis solo dan sepuluh artis berkumpulan akan dicalonkan oleh setiap negara.

Seterusnya, juara antara negara bakal bersaing merebut IKON ASEAN iaitu kemuncak program berkenaan.

Di Malaysia, pemilihan artis akan dipertanggungjawabkan oleh jawatankuasa profesional dari Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM).

Sebagai penggerak awal, Malaysia akan mendahului negara-negara jirannya apabila IKON Malaysia dijangka menemui penonton malam ini di stesen TV berbayar Astro. Radio Era pula dilantik sebagai penyiar rasmi IKON.

Sehubungan itu, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani di antara Astro, Radio Era, RIM dengan IKON Media Group pada satu majlis di Bukit Jalil, baru-baru ini.

Menurut Pemangku Ketua Program Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, pihaknya sentiasa menyokong industri hiburan tempatan dan melihatnya sebagai satu peluang pelaburan menghasilkan penjenamaan baru.

Namun katanya, sebuah program baru itu perlu seiring dengan kandungan bahan yang berkualiti kepada penonton di rantau ini.

“IKON mampu mencipta satu fenomena baru dalam industri penyiaran di Malaysia. Kandungannya yang bercorak hiburan mampu menaikkan nama negara di mata dunia penyiaran ASEAN dan seterusnya peringkat antarabangsa.

“IKON wajar dilihat sebagai inisiatif baru dalam industri hiburan di mana platform para artis dan karyawan muzik tanah air mendekati masyarakat di luar lingkaran hiburan tempatan.

“Secara tidak langsung, promosi sebegitu akan membuka laluan buat mereka lebih dikenali di peringkat Asia,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Persatuan Industri Rakaman ASEAN, Arnel Affandi, Pengarah Urusan IKON Media Group, Richard Voon, Naib Pengerusi RIM, Norman Abdul Halim dan Pengurus Besar Kumpulan (Rangkaian) AMP Radio Networks, Kudsia Kahar.

Tambah Khairul Anwar, IKON juga bakal menjadi satu penanda aras dalam dunia penyiaran di Malaysia dan Asean berdasarkan sasaran penonton yang melebihi 100 juta orang.

IKON juga jelasnya bukan sahaja disiarkan di medium televisyen dan radio malah menerusi telefon bimbit dan Internet sekali gus merangkumi kemudahan multimedia tercanggih masa kini.

“Dengan gabungan pertukaran budaya unik antara lima negara, dunia baru muzik kembali segar dan melambangkan apresiasi gaya dan bakat seni anak Malaysia.

“Apa yang pasti, IKON merupakan pintu yang terbuka luas kepada artis Malaysia untuk melangkah jauh lagi merentasi sempadan,” katanya mengakhiri ucapan.

Apa itu IKON?

* Program anugerah muzik melibatkan lima negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina yang mana juara IKON masing-masing (solo dan kumpulan) akan merebut gelaran IKON Asean.

* Mempertandingkan 12 anugerah keseluruhannya.

* Berkonsepkan realiti TV yang akan ditayangkan di Astro.

* Pemilihan juara IKON Malaysia ditentukan oleh undian SMS (khidmat pesanan ringkas), manakala juara IKON Asean diadili oleh juri profesional terpilih.

* IKON Malaysia bakal bermula hari ini serentak dengan negara Asean lain.

* Ia melibatkan lima peringkat sebelum berlakunya penyingkiran setiap minggu berdasarkan persembahan artis (solo dan kumpulan).

* Juara IKON Malaysia akan diketahui pada awal Ogos depan sebelum bertanding dengan juara Asean yang lain pada penghujung bulan yang sama.

* Pemilihan artis yang layak dicalonkan berdasarkan kriteria tertentu. Antaranya umur artis rakaman melebihi 16 tahun, album diterbitkan selepas 1 Januari 2005, maksimum jualan album yang akan ditetapkan kemudian serta persetujuan bersama antara artis dan syarikat rakaman.

p/s: malam ini astro ria jam 9.oo p.m. bersama Sarimah Ibrahim dalam Intro IKON Malaysia yang memperkenalkan calon-calon IKON Malaysia dalam kategori solo dan grup.

 HARI PM UMUMKAN KENAIKAN GAJI KAKITANGAN AWAM

Lebih sejuta kakitangan awam akan menikmati kenaikan gaji di antara 7.5 hingga 35 peratus, manakala kadar Bantuan Sara Hidup atau Cola dinaikkan 100 peratus, berkuat kuasa 1 Julai ini.

Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula mendapat tambahan 20 peratus lagi daripada peratusan kenaikan gaji yang diumumkan itu. Ini bermakna anggota polis dan tentera menerima kenaikan gaji antara sembilan hingga 42 peratus.

Kenaikan gaji 1,002,040 kakitangan awam itu diumumkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan Hari Pekerja sektor awam 2007 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam. Hadirin menyambut pengumuman itu dengan tepukan gemuruh dan laungan ‘Hidup Pak Lah’.

Turut menikmati kenaikan berikutan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam itu ialah 557,033 pesara kerajaan. Kali terakhir semakan gaji kakitangan awam dibuat pada 1992.

Perdana Menteri berkata, gaji pokok Kumpulan Sokongan 2 (Gred 1 hingga 16) dinaikkan 35 peratus; Kumpulan Sokongan 1 (Gred 17 hingga 40) sebanyak 25 peratus, Kumpulan Pengurusan Profesional (Gred 41 hingga Gred 54) sebanyak 15 peratus dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama Sektor Awam atau Jusa C hingga Ketua Setiausaha Negara) sebanyak 7.5 peratus.

Pengurusan tertinggi PDRM dan ATM pula mendapat kenaikan sembilan peratus, Kumpulan Pengurusan Profesional (18 peratus), Kumpulan Sokongan 1 (30 peratus) dan Kumpulan Sokongan 2 (42 peratus).

Dengan kenaikan itu, gaji terendah kakitangan awam mencecah RM649.15 sebulan berbanding RM480.85 sebulan sekarang, manakala pendapatan terendah dicampur elaun tetap lain berjumlah RM1,024.15 sebulan berbanding RM805.85 sebulan sekarang.

Pendapatan terendah itu juga hampir menyamai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi seluruh Malaysia, iaitu RM691 sebulan.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan, berkata kenaikan gaji itu membabitkan perbelanjaan tambahan RM3.4 bilion tahun ini atau RM6.8 bilion setiap tahun, manakala peningkatan kadar Cola memerlukan perbelanjaan tambahan RM600 juta tahun ini atau RM1.2 bilion setahun.

Dalam kenyataannya selepas pengumuman itu, Perdana Menteri menjelaskan lapan kategori kakitangan awam layak mendapat kenaikan gaji berkenaan.

Mereka ialah pegawai di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM) meliputi pegawai tetap, pegawai kontrak, pegawai sementara, pegawai sambilan, guru sambilan, pegawai khidmat singkat, pegawai yang bercuti belajar gaji penuh, separuh gaji dan tanpa gaji serta pegawai yang dipinjamkan atau ditukar sementara.

Abdullah menjelaskan, kerajaan bersetuju memanjangkan tambahan kenaikan gaji kepada ATM walaupun ia hanya dituntut PDRM sebelum ini kerana wujud ketetapan service ranking atau kedudukan ATM yang paling atas berbanding PDRM dan perkhidmatan awam lain.

Beliau berkata, secara purata gaji PDRM adalah di antara lima hingga 15 peratus lebih tinggi daripada gaji kakitangan awam, manakala gaji ATM antara tiga hingga 11 peratus lebih tinggi daripada gaji PDRM.

Perdana Menteri yakin kenaikan gaji itu akan meringankan beban anggota sektor awam, terutama dalam kumpulan terendah.

“Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan semua anggota sektor awam bahawa dengan kenaikan ini, harapan seluruh rakyat serta kerajaan kepada sektor awam akan meningkat,” katanya pada perhimpunan yang dihadiri lebih 5,000 kakitangan awam dari seluruh negara itu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Kabinet, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tan Sri Sidek Hassan, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam dan Presiden Cuepacs, Omar Osman yang diberi penghormatan untuk duduk bersama Perdana Menteri di pentas utama Dewan Plenari itu.

Abdullah berkata, kerajaan membuat pertimbangan menaikkan gaji kakitangan awam berdasarkan empat faktor, iaitu prestasi ekonomi negara, keperluan menarik dan mengekalkan modal insan berkelayakan, kenaikan kos sara hidup serta kemampuan kewangan kerajaan.

Kuantum itu diputuskan secara cermat dan berhemat kerana sebarang kenaikan gaji kakitangan awam akan turut membabitkan pengiraan pencen serta elaun tertentu.

“Kerajaan juga mengiktiraf beban tanggungjawab serta cabaran tugas masa kini yang dihadapi PDRM dan ATM. Maka, kerajaan memutuskan untuk memberi kenaikan tambahan kepada PDRM dan ATM sebanyak 20 peratus di atas peratusan kenaikan gaji untuk semua anggota sektor awam yang diumumkan tadi,” katanya.

Beliau menasihatkan kakitangan awam supaya terus meningkatkan produktiviti serta mutu perkhidmatan kepada rakyat sejajar hasrat kerajaan menjadikan perkhidmatan awam negara sektor yang terbilang di dunia.

“Selain menyediakan sistem penyampaian perkhidmatan yang terbaik, kerajaan amat berharap anggota sektor awam akan lebih menekankan aspek perkhidmatan yang mempunyai nilai tambah kepada perkhidmatan termasuk mengurangkan kerenah birokrasi, sentiasa mesra, telus, responsif, kreatif dan mementingkan pelanggan.

“Sekiranya kita mempunyai hala tuju dan matlamat yang sama, negara dan rakyat akan terus makmur dan sudah pasti kita juga akan menikmati kejayaan bersama, InsyaAllah,” katanya.

‘APA KATA MEREKA’

HARI INI MAB SEDIAKAN SEJUTA BEG LUT SINAR

Malaysia Airports Bhd (MAB) menyediakan sejuta beg plastik lutsinar dan menambah kakitangan sebagai persiapan melaksanakan peraturan baru mewajibkan penumpang antarabangsa mengisi barangan cecair ke dalam beg plastik sebelum menaiki pesawat, mulai hari ini.
Plastik lutsinar itu diedarkan ke semua lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara untuk digunakan penumpang antarabangsa secara percuma bagi tempoh antara tiga hingga enam bulan peraturan berkenaan berkuatkuasa.Pengurus Besar Kanan Keselamatan MAB, Datuk Kamaruddin Mohd Ismail, berkata kakitangan baru ditambah bagi membantu melancarkan kerja pengagihan dan pemeriksaan di semua lapangan terbang terutama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Di KLIA saja, 120 kakitangan baru ditambah dan mereka akan bekerja mengikut empat syif bagi membantu 60 kakitangan sedia ada yang bertugas pada setiap syif.

“Kita sudah bersedia dan jika semua berjalan lancar, tidak akan timbul masalah kesesakan di kaunter kerana kita sudah lama menyebarkan maklumat mengenai pelaksanaan langkah keselamatan baru ini kepada pelanggan.

“Sebab itu kita tambah 30 kakitangan baru di setiap syif di KLIA. Ini sebagai langkah berjaga-jaga untuk melancarkan urusan di semua kaunter,” katanya.

Mulai jam 12 tengah malam tadi, semua barangan cecair seperti gel rambut, gel kasut, losyen, minyak, campuran cecair, pepejal seperti puding, bekas tekanan seperti buih cukuran dan deodoran, minyak wangi, minuman, sup, kosmetik dalam cecair, ubat gigi mesti dimasukkan ke dalam plastik khas.

Plastik lutsinar boleh tutup itu boleh didapati percuma di kaunter penerangan, kaunter tiket, kaunter daftar masuk dan pusat pemeriksaan pelepasan dan setiap penumpang hanya dibenarkan membawa satu bagasi tangan.

Setiap penumpang hanya dibenarkan memasukkan cecair ke dalam beg plastik bersaiz tidak lebih 100 milimeter atau 100 gram atau muatan maksimum kurang satu liter. Beg plastik itu akan dilekatkan menggunakan kod khas dan rosak jika dibuka semula.

Bagaimanapun, penumpang masih dibenarkan membawa masuk susu dan makanan bayi, ubatan atas nama pemegang tiket, insulin, serta barangan cecair yang dibeli kedai bebas cukai dengan syarat mesti disertakan resit pembelian.

Kamaruddin berkata, sejak peraturan baru itu diumumkan pada Mac lalu, pihaknya mengedarkan dua juta risalah dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin serta 2,000 poster meja.

MAB percaya ramai sudah mengetahui maklumat peraturan baru itu tetapi pihaknya akan terus menggiatkan kempen penggunaan plastik lutsinar bagi mengelakkan masalah serta kekeliruan.

“Banyak negara lain sudah menggunakan kaedah yang sama dan ia selaras dengan garis panduan keselamatan Pertubuhan Pengangkutan Awam Antarabangsa yang mengutamakan keselamatan. Peraturan ini dijalankan di semua lapangan terbang termasuk Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang,” katanya.

p/s sekarang ini dah ada bom jenis cecair sebab itu yang diorang takutkan……. jangan jadi macam video ini….

Tiada Respons to “HARI INI BERMULA IKON MALAYSIA DI ASTRO RIA”

Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: