HARI-HARI (DULU & KINI)
:: Tentang Hari Ini Dan Sejarah ::

HARI INI PERNIKAHAN RAJA MUDA PERAK

 ‘GAMBAR’

‘VIDEO AKAD NIKAH’

 ‘VIDEO BERSANDING’

Tahniah untuk DYMM Sultan Perak sekeluarga kerana akhirnya Raja Muda yang disayangi sekalian rakyat Perak YM Raja Dr Nazrin akhirnya menemui permaisurinya Zara Salim Davidson dan akan dinikahkan pada hari ini di Istana Bukit Chandan, Kuala Kangsar . Sebagai anak Perak yang senantiasa mengikuti dan mengambiltahu tentang diri Tuanku sekeluarga, saya amatlah berbesar hati dan bergembira dengan perkhabaran ini. Semoga negeri Perak yang tercinta ini akan semakin gemilang di bawah naungan Tuanku.

 Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan upacara akad nikad bermula kira-kira jam 9.45 pagi, diikuti istiadat menyarung cincin yang dijangka berakhir jam 10.30 pagi.

Majlis yang diadakan secara sederhana itu hanya dihadiri anggota kerabat kesultanan Perak, beberapa dif jemputan kehormat serta ahli keluarga terdekat pengantin perempuan.

Esok, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, akan menganugerahkan Darjah Kerabat Diraja (DK) Perak dan seterusnya mengisytiharkan pelantikan Zara sebagai Raja Puan Besar Perak.

Istiadat penganugerahan itu akan berlangsung di Dewan Istiadat Istana Iskandariah bermula jam 9.15 pagi dan dihadiri kerabat kesultanan Perak serta dif jemputan kehormat.

Persandingan Diraja pula akan berlangsung di Balai Rong Seri pada malam Sabtu, diikuti majlis Jamuan Diraja bermula jam 10 malam.

Orang ramai berpeluang menyaksikan majlis persandingan diraja itu secara langsung menerusi skrin gergasi yang dipasang di Arena Square Kuala Kangsar serta Dataran Ipoh.

Jamuan malam turut disediakan di Arena Square Kuala Kangsar, manakala pertunjukan bunga api selama kira-kira 30 minit diadakan berhampiran Jambatan Sultan Abdul Jalil di sini pada malam berkenaan.

Panjut lampu pelita juga dipasang selama dua hari bermula esok di sepanjang tebing Sungai Perak di Kampung Sayong yang bertentangan dengan Istana Iskandariah dan bandar Kuala Kangsar.

Selain itu, lampu berwarna warni dipasang di seluruh bandar ini serta sepanjang jalan raya yang menempatkan Istana Kinta dan Hotel Impiana Casuarina di Ipoh, tempat penginapan rasmi jemputan kehormat.

Lebih 15,000 pengunjung, termasuk 5,000 jemputan khas, dijangka membanjiri bandar ini sempena istiadat perkahwinan diraja itu.

Zara pelajar cemerlang Universiti Nottingham


Zara Salim Davidson, bakal isteri Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah, adalah seorang pelajar cemerlang di Universiti Nottingham dan bekas perenang negeri Perak.

Beliau lulus dengan ijazah kelas pertama dalam kejuruteraan kimia pada Julai 1995.

Secara kebetulan, bakal ayahanda mentuanya, Sultan Perak juga adalah penuntut undang-undang di universiti yang sama dan mendapat ijazah pertama undang-undang pada 1953 sebelum dilantik sebagai peguam di England pada 1954.

Dilahirkan di Ipoh pada 22 Mac 1973, Zara merupakan anak bongsu daripada empat anak William Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabudin. Zara mempunyai tiga abang.

Zara, yang mempunyai minat mendalam dalam bahasa asing, mendapat pendidikan awal di SMJK Convent Ipoh dan mewakili sekolahnya dalam sukan skuasy dan tenis dari tahun 1988 hingga 1990.

Beliau juga mewakili Perak dalam sukan renang antara tahun 1981 dan 1987.

Selepas menamatkan A-Levels di Prime College di sini pada 1992, Zara ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan kimia di Universiti Nottingham dan lulus dengan ijazah kelas pertama pada Julai 1995. Beliau juga menerima anugerah pelajar cemerlang untuk projek tahun akhirnya.

Zara menyertai Jabatan Penilaian Perniagaan di Unit Perancang Korporat Petronas pada Disember 1995 dan merupakan sebahagian daripada kumpulan yang bertanggungjawab atas kejayaan membangunkan kompleks bersepadu petrokimia di Kertih dan Kuantan, yang rakan kongsi asingnya termasuk BP, BASF, Dow Chemicals dan Mitsubishi.

Beliau kemudian menjadi penganalisis projek di Unit Perdagangan Petrokimia Petronas dan sebahagian daripada kumpulan teras membangunkan inti pati jenama Petronas, yang kini membentuk sebahagian daripada strategi penjenamaan global Petronas.

Antara Februari 1999 dan Oktober 2000, Zara memegang jawatan pengurus produk di Petlin (Malaysia) Sdn. Bhd., sebuah syarikat usaha sama Petronas dengan DSM dari Belanda dan Sasol, Afrika Selatan.

Zara juga merupakan sebahagian daripada pasukan projek Petronas untuk menjalankan operasi loji Low Density Polyethylene (LDPE) terbesar di dunia di Kertih.

Zara kemudian meninggalkan Petronas pada November 2001 untuk menjadi pengurus akaun di Formis Network Services Sdn. Bhd. dan kemudian memegang jawatan Naib Presiden Partnerships & Alliances di Formis (Malaysia) Berhad, sebuah syarikat berasaskan teknologi yang disenaraikan di Bursa Malaysia, antara tahun 2003 dan 2005.

Antara 2005 dan 2007, Zara, yang mempunyai sijil penyelamat renang bertauliah dan peminat sukan lasak, menjadi Pengarah Urusan Forthwave Consulting Sdn. Bhd., syarikat pembangunan perisian dan kejuruteraan teknikal hidrokarbon di Kuala Lumpur.

p/s daulat tuanku 

9 Respons to “HARI INI PERNIKAHAN RAJA MUDA PERAK”

  1. PENDUDUK SEKITAR ISTANA BUKIT CHANDAN DOAKAN PENGANTIN BERBAHAGIA

    Penduduk kampung sekitar Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini, melahirkan rasa syukur dan tidak sabar untuk meraikan perkahwinan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dengan Zara Salim Davidson yang akan diijabkabulkan hari ini.

    Mereka juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kebahagiaan pasangan diraja itu.

    Ketua Kampung Padang Changkat, Zaino Beedin Shah Haruddin, 72, yang kampunhnya terletak di kawasan belakang istana berkata, penduduk kampung itu bersyukur Raja Muda Perak bertemu jodoh dengan Zara kerana pasangan itu ibarat pinang dibelah dua.

    “Saya mewakili penduduk di sini sangat gembira kerana selepas sekian lama Raja Muda membujang akhirnya baginda bertemu jodoh dan kami mendoakan semoga pasangan diraja ini berbahagia hingga dikurniakan cahaya mata,” katanya di sini, semalam.

    Zaino Beedin berkata, penduduk kampung juga akan pergi ke Arena Square pada Sabtu ini bagi tidak melepaskan peluang mengikuti upacara persandingan yang disiar secara langsung menerusi paparan di skrin besar.

    “Insya-Allah penduduk kampung dan rakyat akan sama-sama berkumpul di Arena Square…kami pergi bukan semata-mata kerana hendak makan tetapi untuk meraikan dan menunjukkan kasih kepada Raja Dr Nazrin Shah,” katanya.

    Abdul Mazin Abdul Jamil, 57, yang turut gembira mendoakan agar perkahwinan diraja itu berkekalan hingga ke akhir hayat.

    “Persiapan bagi meraikan pasangan diraja di bandar Kuala Kangsar pun nampak menarik dan kedatangan orang ramai dari luar Perak juga nanti sejajar dengan kempen Tahun Melawat Malaysia tahun ini,” katanya.

    Hafishah Ahmad, 68, pula berkata beliau tidak sabar untuk menyaksikan majlis pernikahan dan persandingan Raja Muda itu kerana peluang itu jarang berlaku.

    “Makcik seronok sangat dan hendak pergi tengok di Arena Square kerana bukan senang nak tengok upacara sebegini lagipun Zara memang sesuai menjadi pasangan Raja Muda Perak,” katanya.

  2. DERMAWAN ANJUR MAJLIS RESEPSI

    Lebih ramai dermawan akan menganjurkan majlis resepsi atau menyumbang kepada sekolah, badan kebajikan serta rumah ibadat di Perak sempena perkahwinan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah dan Zara Salim Davidson.

    Dua belas lagi penaja daripada pelbagai syarikat, pertubuhan dan individu berjanji untuk memberikan sumbangan masing-masing hari ini.

    Mereka ialah Lembaga Air Perak yang akan menyediakan makanan untuk pelajar sekolah di daerah Parit pada Jumaat ini, sementara Kelab Lumba Kuda Perak akan menaja Persatuan Pemulihan Sultan Azlan Shah.

    Penaja lain dan penerima sumbangan termasuk Baiduri Perak (Sekolah Raja Perempuan Ta’ayah Ipoh), Institut Teknologi Perak (Sekolah Izzudin Shah Ipoh), Persatuan Murid Tua Maktab Melayu Kuala Kangsar (Maktab Melayu Kuala Kangsar), Promserv Group of Companies (Asrama Bintang Rumah Wanita Cacat Infant Jesus), Pusat Jagaan Sri Joy (Persatuan Daybreak), Syarikat M Salim Sdn Bhd (Sekolah Semangat Maju Kampung Tawas), Best Hearing Aid Centre Sdn Bhd (Rumah Kanak-kanak Lelaki Salvation Army) dan Taska Little Land (Rumah Orang Tua Salvation Army).

    Individu yang turut memberikan sumbangan termasuk Datuk Tajuddin Abdul Rahman bagi Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah, Pasir Salak dan Datuk Yeoh Beng San bagi Hannah Home Ipoh.

    Sementara itu, Datuk Mohd Annuar Zaini, Pengerusi Metropolitan Utilities Corporation Sdn Bhd dan Bernama, akan menaja Rumah Anak Yatim Badan Khidmat Islam Perak (Bakip) dan Sekolah Idrisiah, Kuala Kangsar.

    Ikrar sumbangan mereka ini adalah selaras permintaan Raja Dr Nazrin bahawa wang yang diperuntukkan bagi membeli ruang iklan perutusan ucap tahniah perkahwinan baginda di akhbar disalurkan bagi tujuan kebajikan ke rumah ibadat, badan kebajikan, rumah orang tua, rumah anak yatim dan sekolah-sekolah di Perak.

    Seorang jurucakap kerajaan negeri berkata, mereka yang menjanjikan derma berkenaan harus memaklumkannya ke pejabat Sultan Perak supaya sumbangan mereka disahkan.

    Masjid di seluruh Perak juga akan mengadakan doa kesyukuran selepas solat Jumaat untuk memohon restu perkahwinan Raja Muda Perak.

  3. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memuji Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah sebagai seorang raja berjiwa rakyat yang sentiasa mengutamakan pembangunan dan kebajikan rakyat.

    Perdana Menteri berkata, Raja Dr Nazrin sememangnya berjiwa rakyat, walaupun dilahirkan di istana.

    “Saya pernah bersembang pelbagai isu…dan memang baginda memberi perhatian kepada hal berkaitan pembangunan dan kebajikan rakyat khususnya di Perak,” katanya.

    Abdullah mengulas keputusan Raja Dr Nazrin menolak dengan hormat peruntukan kewangan kerajaan untuk urusan perkahwinan baginda dengan Zara Salim Davidson.

    Kelmarin, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali dilaporkan berkata, Raja Dr Nazrin tidak memberi perkenan kepada kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan perkahwinan baginda.

    Tajol Rosli berkata, selaku Ketua Eksekutif kerajaan negeri, beliau menghargai keperibadian dan pekerti Raja Muda Perak atas keprihatinan baginda tidak memberi perkenan kepada kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan untuk urusan perkahwinan baginda.

    Beliau berkata, Raja Dr Nazrin, sebaliknya menasihatkan kerajaan negeri membelanjakan peruntukan itu untuk projek pembangunan bagi memenuhi keperluan rakyat.

    Beliau berkata, Raja Muda Perak juga menitahkan bahawa segala perbelanjaan keraian akan ditanggung oleh baginda sendiri dan perbelanjaan untuk jamuan rakyat juga diserahkan tuntutan bayarannya kepada baginda.

    Malah baginda turut menitahkan supaya keraian perkahwinan baginda dibuat secara sederhana, selain menasihati syarikat dan orang perseorangan untuk tidak berlumba-lumba membeli ruang iklan ucap tahniah di akhbar.

    Tajol Rosli berkata, baginda lebih bergembira agar perbelanjaan itu disumbangkan untuk tujuan amal terutama didermakan kepada rumah ibadah, badan kebajikan, rumah orang tua dan anak yatim dan sekolah di Perak.

  4. Kerajaan negeri bangga dengan wanita pilihan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Zara Salim Davidson sebagai teman hidupnya dengan menyifatkannya calon paling sesuai mendukung gelaran Raja Puan Besar Perak.

    Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Tajol Rosli Ghazali, berkata keperibadian tinggi dan kehalusan budi pekerti jelas terpancar pada raut wajah Zara yang lemah lembut.

    Beliau berkata, gambar Zara juga jelas menunjukkan beliau mempunyai sikap rendah diri dan menjadikannya seorang sempurna di sisi Raja Dr Nazrin yang turut berkongsi sifat sama sebagai putera raja berjiwa rakyat.

    “Sebagai ketua kerajaan negeri ini, saya bangga dengan pilihan Raja Dr Nazrin dan saya pasti rakyat Perak juga berbangga dan gembira dengan pilihan baginda.

  5. Selepas berkahwin dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, Zara Salim Davidson, bakal mengisi gelaran Raja Puan Besar Perak, yang sudah kosong sejak kira-kira dua dekad lalu.

    Gelaran Raja Puan Besar Perak kosong berikutan kemangkatan Raja Muda Perak ketika itu, Raja Ahmad Siffuddin Sultan Iskandar Shah, pada April 1987.

    Gelaran itu disandang isterinya, Raja Nor Izan Raja Abdul Rashid selama tiga tahun dari tarikh Raja Ahmad Siffuddin dilantik sebagai Raja Muda Perak pada 3 Februari 1984, menggantikan Sultan Azlan Shah yang dimasyhurkan sebagai Sultan Perak.

    Berikutan kemangkatan Raja Ahmad Siffuddin akibat serangan jantung di Kuala Terengganu pada 12 April 1987, Raja Nor Izan menggunakan gelaran Yang Teramat Mulia sehingga beliau meninggal dunia pada 14 Julai 1998.

    Selepas kemangkatan Raja Ahmad Siffuddin, Raja Nazrin yang juga putera sulung Sultan Azlan Shah, dilantik sebagai Raja Muda Perak, dan memandangkan baginda belum berkahwin, gelaran Raja Puan Besar Perak tidak diisi.

    Zara akan dimasyhurkan sebagai Raja Puan Besar Perak dalam satu istiadat pada 18 Mei ini

  6. RAKAMAN ISTIADAT GUNA CCTV

    Media diingatkan supaya tidak menggunakan rakaman istiadat perkahwinan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dengan Zara Salim Davidson, mulai Khamis ini yang akan disalurkan melalui kamera litar tertutup (CCTV) terus ke pusat media di Resort Sungai Perak untuk tujuan penerbitan.

    Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, berkata CCTV itu akan menayangkan keseluruhan upacara perkahwinan Raja Nazrin bermula daripada istiadat akad nikah, pada Khamis ini di Istana Iskandariah di sini diikuti dengan istiadat perisytiharan gelaran Raja Puan Besar Perak, Jumaat serta istiadat persandingan Diraja pada Sabtu malam terus ke pusat media hanya bagi tujuan wartawan membuat laporan dan rencana istiadat itu.

    “Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran atau mana-mana pihak lain tidak dibenarkan menggunakan rakaman CCTV itu untuk sebarang penerbitan lain dan tidak boleh sama sekali dibuat salinan.

    “Salinan rakaman CCTV itu hendaklah diserahkan kepada kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

    Pusat media itu yang dikendalikan Bernama akan dibuka untuk kemudahan wartawan bagi membuat liputan mulai hari ini.

    Pusat itu menyediakan kemudahan komputer dan internet untuk wartawan secara percuma serta turut menyediakan minuman dan makanan ringan sepanjang istiadat itu.

    Bernama dalam kenyataan baru-baru ini berkata, agensi berita itu dilantik oleh Istana Iskandariah sebagai media rasmi dan akan menyalurkan laporan liputan mengenainya, termasuk foto dan visual.

    Media yang berminat untuk mendapatkan visual istiadat boleh membuat tempahan di pusat media, sementara Jabatan Penerangan Negeri Perak akan menyalurkan segala maklumat dan bahan liputan istiadat itu kepada media melalui pusat media dari semasa ke semasa.

    Wartawan yang ingin menggunakan kemudahan pusat media itu dikehendaki berurusan dengan Jabatan Penerangan Negeri Perak untuk mendapatkan pas liputan. – Bernama

  7. KEBAYA PANJANG PAKAIAN NIKAH

    Kebaya panjang daripada kain renda Perancis berwarna putih hadiah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah akan digayakan bakal Raja Puan Besar Perak, Zara Salim Davidson.

    Menurut sumber industri fesyen, kebaya yang bertatahkan taburan kristal putih itu hasil rekaan pereka fesyen terkemuka, Radzuan Radzwill yang sering menghasilkan busana pengantin Diraja serta seorang selebriti terkenal yang melangsungkan perkahwinannya tahun lalu.

    Bagi perkahwinan diraja itu, Radzuan menyediakan empat pasang baju iaitu untuk majlis pernikahan, penganugerahan gelaran, majlis bersanding dan makan malam.

    “Kebaya panjang itu diilhamkan bersesuaian dengan status Zara sebagai bakal Raja Puan Besar Perak. Selain kebaya panjang hingga ke lantai itu, Zara akan mengenakan selendang panjang berwarna putih dan kasut sifon warna sedondon bertatah kristal putih,” katanya kepada Berita Harian semalam.

    Beliau berkata, jika putih menjadi pilihan untuk majlis pernikahan, pasangan diraja itu akan mengenakan kebaya daripada songket Terengganu berwarna kuning Raja Muda untuk istiadat bersanding.

    “Kebaya itu diperindahkan kain renda warna sedondon, manakala untuk layah diperbuat daripada fabrik renda Perancis dengan gaya kelikam dan disesuaikan kasut diperbuat daripada songket,” katanya.

    Sumber itu berkata, bagi adat istiadat penganugerahan gelaran pada Jumaat ini, Zara akan mengenakan kebaya berwarna keemasan sedondon, sementara majlis makan malam memakai rekaan gaun panjang diperbuat daripada fabrik renda berwarna putih kebiruan dihasilkan bersesuaian dengan kedudukan beliau.

    Bagi menghasilkan keempat-empat baju itu, Radzuan dikatakan mengambil masa sebulan setengah menyiapkan rekaan itu seperti yang dipersetujui Zara.

  8. KUALA KANGSAR 19 Mei – Istiadat Persandingan Diraja antara Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan isteri, Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim yang berlangsung di Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini malam ini, berjalan lancar dalam suasana sederhana tapi gilang-gemilang mengikut adat istiadat diraja Perak.

    Majlis istiadat perkahwinan yang mendapat julukan Royal Wedding of the Year itu bermula pukul 8.40 malam dengan jejawat-jejawat istana membawa masuk 32 lembing dan payung kerajaan ke balairung seri.

    Ia diikuti keberangkatan tiba Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun; Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun; Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah diiringi oleh Raja Dihilir Perak, Datuk Seri Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Muda Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah.

    Pasangan pengantin diraja yang masing-masing tampil menawan memakai busana tradisional berwarna kuning diraja berangkat tiba untuk memulakan acara bersanding di singgahsana tepat pukul 9 malam.

    Serentak dengan itu, tujuh das tembakan meriam dilepaskan.

    Majlis perkahwinan kemudian diteruskan dengan istiadat menepung tawar yang dimulakan oleh Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong diikuti Tuanku Haminah.

    Kemudian diikuti oleh Sultan Azlan Shah, Tuanku Bainun, Sultan Sharafuddin dan kekanda sulung Sultan Perak, Raja Datuk Seri Baharum Shah.

    Turut menyempurnakan majlis menepung tawar ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

    Istiadat Perkahwinan Diraja itu diakhiri dengan ayahanda dan bonda Tuanku Zara, Salim Davidson dan Sharifah Azaliah Syed Omar Shahabuddin menyempurnakan upacara yang sama.

    Tuanku Zara kelihatan terharu semasa ayahanda dan bondanya menyempurnakan upacara tepung tawar.

    Selesai istiadat menepung tawar, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria membaca doa memohon keberkatan ke atas pasangan pengantin diraja itu agar dipanjangkan perkahwinan mereka sehingga ke akhir hayat.

    Majlis diakhiri dengan keberangkatan keluar pasangan pengantin dan tetamu majlis dari balairung seri menuju ke dewan santapan bagi memulakan acara santapan diraja.

    Majlis persandingan yang merupakan kemuncak istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan lebih 700 tetamu dan orang kenamaan yang diundang.

    Sementara itu, di Arena Square di sini berlangsung majlis jamuan bagi meraikan 5,000 tetamu tajaan putera berjiwa rakyat, Raja Dr. Nazrin.

    Suasana bandar Kuala Kangsar bertambah ceria dan meriah dengan pesta panjut dan pertunjukan bunga api setinggi 300 meter selama 30 minit tajaan MCA.

    Tetamu di Arena Square dan di bandar raya Ipoh juga berpeluang menyaksikan Istiadat Persandingan Diraja itu secara langsung melalui tiga skrin gergasi yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).-MINGGUAN MALAYSIA


Tinggalkan Jawapan

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: